Rabu, Oktober 17, 2012

KALAU ANAK ANDA KENCING MALAM!!! APA YANG PERLU ANDA LAKUKAN?




NAMA teknikalnya disebut sebagai enuresis (en-yoo-ree-sus) iaitu sebutan dalam bahasa Inggeris. Dalam bahasa orang biasa, ia lebih dikenali sebagai kencing malam.




Mungkin ramai yang mengangguk tanda tahu bila menyentuh tentang perkataan "kencing malam". Masalah ini yang disifatkan sebagai satu tempoh transisi untuk golongan ibu bapa itu sesungguhnya tidak mudah untuk dilalui.


Bagi si anak, kencing malam bukan satu perkara menyeronokkan atau melucukan. Tanpa bantuan orang dewasa, senario itu kemungkinan menjadi satu mimpi ngeri sepanjang tumbesaran anak.


Justeru, ibu bapa perlu sedar terdapat pelbagai faktor penyebab kencing malam. Ketidakmatangan otot pundi kencing, perubahan gaya hidup dan ketidakstabilan emosi merupakan dalang di sebalik permasalahan itu.


Kira-kira 15 daripada 100 kanak-kanak di dalam satu-satu populasi mengalami masalah kencing malam. Otot pundi yang belum matang tidak cukup kuat untuk menahan kencing sepanjang malam. Ini menyebabkan pembuangan air kencing secara tidak disedari berlaku.


Namun, situasi itu tidak akan berlarutan. Seiring dengan peningkatan usia, masalah kencing malam dapat diatasi secara semula jadi berikutan proses kematangan pundi.


Dalam tempoh tumbesaran anak, perubahan gaya hidup banyak mempengaruhi tahap kesihatan fizikal dan minda mereka.

Tekanan misalnya dilaporkan sebagai faktor kedua penyebab masalah kencing malam. Hadir dalam pelbagai bentuk, tekanan mungkin berpunca daripada kehadiran bayi baru dalam keluarga, perceraian, pindah rumah, kematian dalam keluarga atau penyakit.

Ketidakstabilan emosi

Perubahan dalam persekitaran kehidupan seperti kegagalan untuk menyesuaikan diri selepas diambil sebagai anak angkat juga boleh menyebabkan anak kencing malam. Sebarang situasi keluarga yang memberi ketidakstabilan emosi mungkin berpotensi membentuk masalah psikologi buat si kecil. Oleh itu, ibu bapa memerlukan pendekatan untuk menyelesaikan masalah anak tersebut.

Sebenarnya, tiada apa yang perlu dimalukan jika anak anda mengalami masalah kencing malam. Beberapa langkah positif boleh diambil oleh ibu bapa dan anak untuk menangani permasalahan itu.



Dengarlah keluhan anak anda

Tiada maknanya untuk anak sengaja membasahkan tilam katilnya sendiri, betul? Jadi, sebagai ibu bapa, anda boleh menggunakan ketajaman deria pendengaran untuk menganalisis ketakutan dan kerisauan si anak. Fikirkan cara untuk membantu anak seperti mengajarnya membersihkan kotoran itu bersama anda.

Cuba berikan keyakinan kepada anak bahawa tindakan itu bukan satu hukuman. Sebaliknya, ia memberi peluang untuk anak menguruskan masalah itu dalam diam, tanpa perlu diheboh-hebohkan. Tindakan itu mengurangkan risiko tidur anak terganggu.

Pastikan anak tidak dimarahi

Membasahkan tilam katil tidak bermakna anak anda berhak menerima 'deraan' lisan daripada ibu bapa. Anak-anak sudah cukup malu kerana terkencing malam. Jadi, adalah tidak perlu untuk ibu bapa menambah tekanan jiwa mereka. Cuba, tenangkan fikiran dan kurangkan bebanan emosi mereka sebelum terlambat.

Dapatkan nasihat doktor

Doktor adalah orang paling tepat untuk memberi nasihattentang situasi kesihatan anak anda. Ubat-ubatan yang diberikan oleh pakar biasanya dapat membantu pundi menahan aliran kencing sepanjang malam. Selain itu, doktor juga mungkin berkongsi beberapa teknik bagi melatih pundi dan mengukuhkan keupayaan menahan kencing. Senaman dan penggunaan loceng bunyi adalah antara cara untuk mengejutkan anak bagi membuang air kecil. Ibu bapa boleh meletakkan kain yang bersih berdekatan katil bagi memudahkan kerja-kerja pembersihan.
Oleh itu, ibu bapa tidak perlu berfikiran negatif. Masalah kencing malam yang dialami anak bukan perkara asing. Berita baiknya adalah kadar kekerapan masalah itu akan berkurangan apabila anak meningkat dewasa.

0 comments:

Catat Ulasan

Artikel Menarik Hari Ini :-