Isnin, Oktober 08, 2012

SEBAB KENAPA AL-QURAN PEMBIMBING TERBAIK TERHADAP PERUBAHAN DIRI!!!




AL-QURAN memberi impak yang sangat mendalam kepada mereka yang menggunakannya sebagai pembimbing hidup dan penawar kepada pelbagai masalah hidup. Ia mempengaruhi mereka dengan sangat hebat dan bersifat radikal serta menyeluruh. Ia satu proses transformasi ke atas watak dan menjelmakan semula peribadi baru yang murni dan dicintai oleh Allah S.W.T.



Perubahan yang sangat ketara ialah peribadi Rasulullah s.a.w sendiri. Sebelum diangkat menjadi Rasul, baginda adalah pemuda yang hidup menyendiri dan tidak bercampur dengan penyembah berhala. Perubahan yang diserlahkan melalui kefahaman terhadap ayat-ayat Allah dari semasa ke semasa memberikan kekuatan kepada baginda untuk melaksanakan amanah Allah kepadanya. Orang yang miskin, tidak dipedulikan dan berkaki ayam di padang pasir dibentuk semula dalam proses didikan hati yang baru...
Jiwa berubah dan janji Allah adalah benar: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri."- Surah ar-Ra'd: 11. Oleh itu, dalam masa beberapa tahun sahaja, satu kuasa baru muncul dari padang pasir Arab, menakluk empayar Rom dan Parsi. Pada masa yang sama merampas pusat kepimpinan daripada mereka.
Bagaimanakah mungkin al-Quran membuat perubahan yang drastik ini?
Hakikatnya, yang membuat al-Quran begitu berkesan adalah pendekatan yang cemerlang, diikuti pula oleh para sahabat nabi. Mereka memahami al-Quran dan menghargai nilainya.
Kehidupan Nabi Muhammad s.a.w adalah al-Quran iaitu membenarkan apa yang benar dan menolak apa yang salah.
Justeru, bukan sesuatu yang aneh apabila Aishah menggambarkan baginda sebagai 'al-Quran yang berjalan.'
Rasulullah s.a.w membaca al-Quran dengan perlahan dan jelas. Suatu malam, ketika sedang solat, baginda mengulangi bacaan ayat berikut: 'Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang menghalangnya) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu, dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.'- Surah al-Maidah: 118.


Al-Quran memberi banyak impak ke atas nabi seperti surah Hud dan surah-surah selepasnya yang berkaitan dengan hari akhirat. Kesannya bukan sekadar fizikal malah mendalam ke lubuk hati. Salah satu daripadanya ialah ayat 23 iaitu: 'Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, serta tunduk taat menunaikan ibadat kepada Tuhan mereka dengan khusyuk, mereka itulah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya.' (Surah Hud: 23)
Para sahabat mengikut jejak langkah Nabi s.a.w. Mereka juga menikmati kemanisan ayat-ayat al-Quran ketika membacanya. Dalam hal ini, kisah Abbad ibn Bishr amat bermakna untuk direnungi. Setelah kembali daripada satu pertempuran, Nabi s.a.w melantik Abbad dan Ammar menjadi pengawal tempat mereka berkhemah. Abbad mengambil giliran pertama berkawal dan rakannya tidur dahulu.
Memandangkan keadaan terkawal dan tempat itu diyakini selamat, Abbad mengerjakan solat malam.
Bagaimanapun, musuh memerhati perkhemahan tersebut dan membidik anak panah lalu mengena tepat di tubuh Abbad. Beliau mencabut anak panah tersebut dan meneruskan solatnya. Musuh membidik sekali lagi hinggalah kali ketiga, beliau berhenti daripada membaca ayat-ayat al-Quran, rukuk, sujud dan membangunkan 'Ammar.
Dalam keadaan lemah, Abbad membangunkan Ammar dan dengan suara terketar-ketar, beliau berkata kepada: "Ammar...jaga tempat aku. Aku tercedera." Ammar bingkas bangun dan menghalau musuh. Kemudian dia kembali mendapatkan Abbad dan bertanya, "Kenapa engkau tidak mengejutkan aku apabila terkena bidikan yang pertama?"
Abbad menjawab: "Ketika aku sedang solat dan membaca satu surah dari al-Quran yang meruntun jiwa aku dengan kekaguman, menyebabkan aku tidak mahu memendekkannya. Demi Allah, aku bersumpah tidak mahu meninggalkan walau satu huruf yang mana telah diperintahkan oleh Rasul Allah untuk memeliharanya. Aku lebih rela mati daripada mengganggu ayat-ayat yang sedang aku baca itu."


Contoh di atas adalah peneguhan bahawa membaca al-Quran bukan sekadar mainan bibir sahaja. Nilai sebenar al-Quran terletak kepada memahami makna dan keupayaannya memberi kesan kepada pembaca. Al-Quran menghidupkan kembali hati dan membaharui minda. Keadaan inilah yang menjadi pemangkin kepada orang yang ingin mengetahui dan mengenal Allah, seterusnya beribadah kepada-Nya.
Bagaimanapun, hasil yang sama tidak dapat dinikmati jika membaca tanpa berfikir biarpun beribu-ribu kali.
Membaca al-Quran dengan mengambil pengajarannya adalah lebih baik daripada membaca keseluruhannya tanpa merenung maknanya. Kaedah ini lebih banyak dipersetujui oleh kebanyakan cerdik pandai Islam kerana ia lebih berkesan dalam proses mendidik hati dan merangsang perubahan diri.


0 comments:

Catat Ulasan

Artikel Menarik Hari Ini :-