Selasa, Oktober 09, 2012

TEKNIK KUNO UNTUK MELANGSINGKAN BADAN!!!



Obesiti merupakan satu bentuk penderitaan masyarakat moden. Bermacam-macam cara untuk melangsingkan badan dengan cara moden dan cara terdahulu. Tetapi, salah sebuah hospital pakar terkemuka di China kini menawarkan harapan baru bagi individu-individu yang menderita masalah berat badan menerusi teknik-teknik kuno.


Hospital Pengurangan Lemak Aimin yang terletak di kota Tianjin berhasrat menawarkan rawatan-rawatan menggunakan herba tradisional selain akupuntur, urut dan bekam.
"Apa yang menarik tentang kaedah penurunan berat badan orang Cina ialah ia natural dan selamat. Biarpun berat badan akan menurun secara mendadak, kami juga boleh menjamin bahawa semua indikasi kehidupan adalah normal," demikian kata Pengarah Hospital dan Ketua Doktor, Shi Lidong kepada agensi berita Reuters.
Shi berkata, bilangan remaja yang obes meningkat sepuluh peratus setiap tahun.
Hospital berkenaan telah menarik perhatian ratusan warga Cina yang obes dan mengalami berat badan melampau. Semuanya menjadi mangsa kemewahan negara tersebut yang kian meningkat. Malah, kini, warga asing turut membanjiri hospital tersebut.
Sedang sebatang jarum akupuntur dicucuk ke atas tubuh Cheng Jian, 20, yang berlemak, ketidakselesaan itu bagaimanapun tidak setanding perasaan malu diejek sebagai gemuk.
Cheng adalah salah seorang daripada ratusan warga Cina dan asing yang mendaftarkan diri di hospital berkenaan untuk menguruskan badan selain memperoleh semula keyakinan diri.
"Orang selalu berkata di belakang saya kerana mereka belum pernah melihat seseorang segemuk saya," katanya.

Seorang lagi rakyat Amerika Syarikat (AS), Alonzo Bland yang memiliki berat sebanyak 290 kilogram (kg) telah mendaftarkan diri di Aimin pada Mei lalu. Dia berbuat demikian setelah memenangi hadiah bernilai rawatan percuma selama setahun dalam sebuah peraduan baru-baru ini. Peraduan tersebut telah dianjurkan oleh sebuah syarikat yang turut menganjurkan lawatan-lawatan ke China untuk tujuan rawatan perubatan.
Bland, seorang bekas sukarelawan dari Green Bay, Wisconsin, menderita pelbagai masalah kesihatan dan menganggur sepanjang tempoh sedekad ini ekoran saiz badannya.
Dia mengalami kesukaran berjalan dan terpaksa bergantung kepada sebatang tiub untuk membantunya bernafas. Selain itu, tiub tersebut turut mengimbangi lemak pada bahagian dada dan leher yang menekan saluran udaranya.
"Saya rasa makanan segera memainkan peranan yang penting. Hanya kerana seseorang itu tidak dapat menyediakan makanan yang sihat di dapur, maka mendapatkan makanan segera nampaknya lebih mudah," kata Bland, 32 tahun.
Setelah gagal mengurangkan berat badannya di rumah, Bland berharap kunjungannya ke China dapat membawa sinar harapan.

"Matlamat terakhir saya ialah untuk menurunkan berat badan dan berasa lebih sihat. Saya rasa perubatan tradisional Cina mungkin dapat membantu melancarkan proses perubahan ini," katanya.
Menurut Shi, makanan Cina yang banyak terdiri daripada sayuran hijau, tofu dan nasi adalah diet yang patut diamalkan oleh Bland. Bland turut dirawat menggunakan akupuntur, urut dan bekam.
Akupuntur secara keseluruhannya membantu mengurangkan selera makan dan memperbaiki kadar metabolisma. Namun, Shi menyakinkan rawatan yang ditawarkan adalah bersifat holistik.
Seorang lagi pesakit Cina yang hanya ingin dikenali sebagai Shen berkata, dia mengambil keputusan untuk ke hospital setelah berat badannya menjadi satu beban.
"Anda akan menganggu orang lain ketika tidur dan ini amat menyusahkan hidup. Saya tahu saya perlu mengurangkan berat badan," katanya ketika menerima rawatan akupuntur dan urut daripada doktor.
Selain ubatan farmaseutikal, ribuan tumbuhan, kulat dan haiwan baik yang terpelihara mahu pun yang menimbulkan kontroversi telah digunakan sebagai penawar ubatan Cina yang kini menjadi alternatif pilihan ramai. Ia dipercayai tidak mempunyai banyak kesan sampingan berbanding ubatan Barat.
Dalam pada itu, Shi berkata, dia yakin Bland dan pesakit-pesakit lain dapat mengurangkan berat badan tetapi menekankan rawatan tradisional Aimin bagaimanapun bukan pengganti kepada satu kaedah lama menghilangkan berat badan iaitu bersenam. 

0 comments:

Catat Ulasan

Artikel Menarik Hari Ini :-